SHAH ALAM: Kerajaan melancarkan inisiatif Parcel Shield bagi meningkatkan perlindungan pengguna daripada penipuan yang menyalahgunakan perkhidmatan kurier dan penghantaran bungkusan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata inisiatif yang diterajui Postal Forum itu akan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pelbagai taktik penipuan berkaitan penghantaran, termasuk penyamaran sebagai syarikat kurier, notifikasi penghantaran palsu, pautan pancingan data atau phishing dan penipuan pembayaran semasa penghantaran (COD).
Antara modus operandi yang sering digunakan ialah penghantaran mesej yang mendakwa penghantar sudah tiba tetapi tiada penerima di rumah, sebelum mangsa diminta menekan pautan tertentu.
Menurut Fahmi, pautan seperti itu boleh digunakan penipu untuk cuba mendapatkan akses kepada telefon bimbit atau maklumat kewangan mangsa.
14 organisasi sertai kumpulan kerja khas
Parcel Shield turut memperkenalkan Parcel Shield Working Group (PSWG) sebagai platform khusus untuk perkongsian maklumat, amaran awal dan penyelarasan langkah pencegahan antara pemain industri.
Kumpulan kerja itu kini disertai 14 organisasi termasuk ABX Express, City-Link Express, DHL eCommerce, GD Express, J&T Express, Pos Malaysia, Skynet Worldwide, SPX Express, UPS, Teleport, TikTok Shop dan Mudah.my.
Maklumat yang dikumpulkan melalui PSWG akan digunakan untuk mengeluarkan amaran scam kepada orang ramai menerusi pelbagai saluran komunikasi.
Maklumat berkaitan Parcel Shield turut akan dipaparkan melalui platform syarikat kurier, selain laman web khusus serta saluran Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC).
13,045 kandungan dikesan di platform e-dagang
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan sebanyak 13,045 kandungan berkaitan penipuan, perjudian dan perkhidmatan tidak dibenarkan dikesan pada platform e-dagang bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Oktober 2026.
Daripada jumlah itu, lebih 5,000 kandungan berkaitan penipuan dikenal pasti hasil aduan orang ramai, manakala 172 kandungan melibatkan perjudian dan 7,789 lagi berkaitan perkhidmatan tidak dibenarkan.
Sebanyak 44 kertas siasatan turut dibuka berhubung kandungan yang diminta untuk diturunkan. Dua kes sudah membawa kepada pendakwaan di mahkamah, manakala lebih separuh masih dalam proses siasatan.
Akta Perkhidmatan Pos bakal dipinda
Kerajaan turut bersetuju secara prinsip terhadap cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 sebagai sebahagian usaha memperkukuh tindakan terhadap penipuan berkaitan perkhidmatan kurier dan e-dagang.
Menurut Fahmi, proses penyediaan pindaan itu masih memerlukan masa dan dijangka boleh dibentangkan di Parlimen seawal pertengahan atau penghujung 2027.
Pindaan tersebut juga akan melihat aspek kebajikan dan perlindungan pekerja kurier, selari dengan rancangan kerajaan memperkenalkan inisiatif Postal Fund pada suku pertama 2027.
Pelancaran Parcel Shield dibuat sempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Selangor International Trade Centre, Shah Alam.








