PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri prosiding permohonan kebenaran merayu bagi menghidupkan semula saman sivil RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah, selepas peguam Najib memohon supaya beliau dibenarkan keluar dari penjara untuk menghadiri prosiding berkenaan.
Pendengaran permohonan kebenaran merayu itu ditetapkan pada 26 November ini.
Najib memfailkan saman tersebut pada 2021 dengan mendakwa Tommy Thomas menyalahgunakan kuasa dan bertindak dengan niat jahat ketika mendakwanya dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Beliau menuntut ganti rugi khas RM1.9 juta, termasuk kos melantik pasukan audit bagi menyemak dokumen dan menyediakan pembelaan untuk prosiding jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu pada November 2022. Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan berkenaan pada Januari 2026 atas alasan saman tersebut difailkan terlalu awal.
Najib kini memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan itu. Permohonan tersebut belum diputuskan.
Sumber : BERNAMA
Foto : Vincent Thian









