Home / Dunia / Ketua PBB Gesa Penglibatan Wanita Diperkukuh Dalam Proses Damai

Ketua PBB Gesa Penglibatan Wanita Diperkukuh Dalam Proses Damai

WASHINGTON – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menggesa kerajaan memperkukuh penyertaan wanita dalam rundingan damai, memulihkan pembiayaan kepada pertubuhan diterajui wanita serta memastikan pelaku keganasan berasaskan jantina dibawa ke muka pengadilan.

Ketika berucap pada sesi perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai wanita, keamanan dan keselamatan pada Selasa, Guterres berkata ketidaksamaan jantina masih menjejaskan usaha keamanan meskipun pelbagai komitmen antarabangsa telah dibuat.

Beliau merujuk Resolusi Majlis Keselamatan 1325 yang diterima pakai pada tahun 2000, yang mengiktiraf peranan wanita dalam pencegahan konflik, penyelesaian pertikaian dan pembinaan keamanan.

Menurut Guterres, dunia kini berdepan jumlah konflik tertinggi sejak Perang Dunia Kedua, termasuk di Gaza, Ukraine, wilayah Sahel, Sudan dan Myanmar. Keadaan itu meningkatkan risiko wanita dan kanak-kanak perempuan berdepan keganasan seksual, kehilangan tempat tinggal serta pencabulan hak asasi.

Beliau turut mendedahkan lebih 9,700 kes keganasan seksual berkaitan konflik disahkan PBB pada tahun lalu, dengan jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

Dalam pada itu, wanita hanya merangkumi lima peratus daripada perunding dalam 57 proses damai sepanjang 2025. Kurang satu perlima perjanjian damai yang dimeterai pada tahun sama turut mengandungi sekurang-kurangnya satu rujukan berkaitan wanita, kanak-kanak perempuan, gender atau keganasan seksual.

Guterres menggesa kerajaan menunaikan komitmen bantuan pembangunan rasmi, memperkukuh perlindungan terhadap pekerja bantuan kemanusiaan wanita dan memastikan pelaku keganasan berasaskan jantina bertanggungjawab atas perbuatan mereka.

Sumber : Astro Awani

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *