Home / Malaysia / Abbe Hae Dakwa Wujud Taktik Baharu Seludup PATI Guna Van Kurier

Abbe Hae Dakwa Wujud Taktik Baharu Seludup PATI Guna Van Kurier

KOTA BHARU – Hantaran aktivis masyarakat, Abbe Hae, mengenai dakwaan taktik baharu menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan van kurier mencetuskan perhatian pengguna media sosial.

Hantaran pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan itu meraih 5,900 tanda suka, 965 perkongsian dan 758 komen dalam tempoh kira-kira sejam selepas dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Abbe Hae, atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan, mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki dipercayai warga asing menghampiri sebuah van kurier sebelum seorang individu dilihat keluar dari dalam kenderaan tersebut.

Beliau turut mendakwa individu berkenaan berkemungkinan daripada etnik Rohingya. Bagaimanapun, dakwaan itu belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, kejadian yang didakwa berlaku di kawasan terbuka itu menimbulkan kebimbangan sekiranya benar melibatkan kegiatan membawa masuk atau memindahkan PATI menggunakan kaedah berkenaan.

Abbe Hae turut menggesa orang ramai supaya lebih peka terhadap aktiviti mencurigakan dan menyalurkan rakaman berkaitan melalui saluran yang sesuai.

Setakat laporan diterbitkan, tiada pengesahan rasmi mengenai identiti individu dalam rakaman mahupun sama ada kejadian itu benar-benar melibatkan aktiviti penyeludupan PATI.

Sumber : Sinar Harian

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *