JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan beliau tidak mahu terus memegang jawatan presiden sekiranya rakyat negara itu masih hidup dalam kemiskinan.
Kenyataan itu disampaikan ketika menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Nasional Pasukan Percepatan Akses Kewangan Daerah (TPAKD) pada 22 Oktober 2026 di Jakarta.
Prabowo berkata, matlamat utama kepimpinannya adalah untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. Beliau turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi perlu dirasai oleh masyarakat di semua peringkat, bukan hanya golongan atasan.
Menurutnya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha menggerakkan ekonomi dari peringkat akar umbi dan membangunkan semua wilayah secara lebih menyeluruh. Beliau juga meminta gabenor serta bupati supaya tidak bimbang mengenai peruntukan kewangan kepada daerah masing-masing.
Prabowo berjanji aliran dana kepada kerajaan daerah akan ditingkatkan berbanding tempoh sebelumnya, malah beliau menjangkakan lebih banyak peruntukan dapat disalurkan pada tahun hadapan.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan pemimpin perlu diukur melalui peningkatan kesejahteraan rakyat, termasuk pendapatan dan kuasa beli yang lebih baik.









