SHAH ALAM – Polis menemukan 20.6 kilogram dadah yang disimpan di dalam stor sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang dalam operasi membanteras pengedaran dadah di Selangor dari 13 hingga 19 Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seorang lelaki warga tempatan yang bekerja separuh masa sebagai pembantu di premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, semakan mendapati tanah lokasi itu digazetkan untuk tapak pembentungan. Dadah berkenaan ditemukan ketika polis menjalankan siasatan terhadap kegiatan pengedaran dadah.
Dalam operasi berasingan di Rawang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), polis menahan tujuh individu berusia antara 19 hingga 48 tahun, terdiri daripada empat warga tempatan dan tiga warga asing.
Operasi itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah, termasuk bunga ganja seberat 81.3 kilogram, ganja seberat 37 kilogram, 3,510 kartrij mengandungi ketamin, 84 botol ekstasi serta 25.4 kilogram ketamin.
Keseluruhan rampasan dadah daripada operasi berkenaan dianggarkan bernilai RM16.2 juta. Polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal serta wang tunai dalam mata wang tempatan dan asing berjumlah RM54,835.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber : Sinar Harian









