PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan solat hajat di tiga masjid utama seliaannya selepas solat Jumaat minggu ini bagi memohon perlindungan untuk Masjid Al-Aqsa di Palestin serta keselamatan rakyat Malaysia daripada musibah jerebu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata solat hajat itu akan diadakan di Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.
Inisiatif tersebut dilaksanakan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, serta seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, agar umat Islam menunaikan solat hajat dan berdoa untuk kedua-dua perkara berkenaan.
Bacaan doa khusus akan memohon agar Masjid Al-Aqsa dilindungi daripada pencerobohan dan kezaliman, selain Malaysia dipelihara daripada bencana jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.
JAKIM turut menyeru umat Islam supaya bersama-sama mengimarahkan masjid, memperkukuh perpaduan ummah dan memperbanyakkan doa demi keselamatan rakyat Palestin serta kesejahteraan negara.
Sumber : PUTRAJAYA









