Home / Malaysia / Penuntut Malaysia Cemas Terperangkap Dalam Rusuhan Perancis, Berlindung Di Kedai Bakeri

Penuntut Malaysia Cemas Terperangkap Dalam Rusuhan Perancis, Berlindung Di Kedai Bakeri

KUALA LUMPUR – Dua penuntut Malaysia berdepan detik mencemaskan apabila demonstrasi di bandar Le Havre, Normandie, Perancis bertukar ganas sehingga menyebabkan pembakaran harta benda awam dan polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Penuntut tahun dua jurusan Pengurusan Perniagaan di EM Normandie Business School, Fatin Nur Elleyana Suresh Amiruddin, 20, berkata, dia terperangkap berhampiran lokasi rusuhan ketika keluar menyiapkan tugasan universiti pada Sabtu lalu.

Bimbang akan keselamatannya, Fatin bertindak berlindung di sebuah kedai bakeri bersama beberapa keluarga dan kanak-kanak. Pemilik kedai itu turut membantu menenangkan mereka sebelum Fatin pulang ke pangsapurinya beberapa jam kemudian, selepas keadaan disahkan selamat.

Menurut Fatin, demonstrasi berhampiran kediamannya yang sebelum ini lazimnya berlangsung secara aman bertukar tegang apabila penunjuk perasaan terdiri daripada pelajar dan anggota pergerakan ‘gilets jaunes’ atau Jaket Kuning mula membakar harta benda awam.

Seorang lagi penuntut Malaysia, Ammar Ajwad Muhamad Sanuzi, 20, turut menyaksikan demonstrasi berkenaan secara tidak sengaja ketika menghantar barang kepada rakannya di bandar itu. Beliau berkata, jumlah penunjuk perasaan yang ramai serta tindakan membakar tong sampah dan harta awam mencetuskan kebimbangan, manakala polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata.

Susulan kejadian itu, pihak universiti, Kedutaan Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memantau keselamatan penuntut serta memberikan panduan, termasuk meminta mereka mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri. Terdahulu, kira-kira 500,000 orang dilaporkan menyertai demonstrasi di seluruh Perancis bagi membantah peningkatan kos sara hidup.

Sumber: Harian Metro

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *