KUALA LUMPUR – Jepun akan membekalkan sistem penangkis dron bernilai kira-kira RM40 juta kepada Malaysia bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara, khususnya dalam menghadapi ancaman pesawat tanpa pemandu.
Bantuan itu dimeterai menerusi program Official Security Assistance (OSA) 2026 melalui perjanjian yang ditandatangani Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi di Tokyo pada 20 Oktober.
Menurut Kementerian Luar Jepun, sistem Counter-Unmanned Aerial System (C-UAS) itu akan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pembekalan tersebut dijangka meningkatkan keupayaan TLDM dalam aspek keselamatan, pemantauan dan pengawasan, terutama di laluan maritim yang penting kepada Malaysia serta rantau sekitarnya.
Kerjasama ini juga merupakan projek pertama di bawah program OSA Jepun yang melibatkan pembekalan sistem C-UAS. Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha memperkukuh kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara, selain menyokong keamanan dan kestabilan serantau.
Foto : FB Khaled Nordin









