Home / Dunia / Rakyat Malaysia Catat Penggunaan Tertinggi Kereta Api Whoosh di Indonesia

Rakyat Malaysia Catat Penggunaan Tertinggi Kereta Api Whoosh di Indonesia

BANDUNG – Rakyat Malaysia muncul sebagai kumpulan pelancong asing terbesar yang menggunakan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Whoosh di Indonesia sepanjang tiga tahun pertama operasinya.

Pengendali perkhidmatan itu, PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), merekodkan kira-kira 430,000 penumpang dari Malaysia, bersamaan 43 peratus daripada lebih satu juta penumpang antarabangsa yang menggunakan Whoosh dalam tempoh berkenaan.

Secara keseluruhan, Whoosh mencatatkan 18.2 juta pergerakan penumpang sejak operasi komersial bermula pada 17 Oktober 2023 hingga 16 Oktober 2026. Perkhidmatan yang menghubungkan Jakarta dan Bandung itu turut menyaksikan peningkatan kekerapan perjalanan daripada 14 kepada 62 perjalanan sehari.

Jumlah penumpang harian juga meningkat daripada sekitar 9,000 kepada lebih 26,000 orang, manakala purata penumpang bulanan kini melebihi 500,000 orang.

Dari sudut operasi, KCIC memaklumkan Whoosh mengekalkan rekod sifar kemalangan sepanjang tiga tahun pertama, dengan ketepatan masa 99.4 peratus dan tahap kepuasan pelanggan sebanyak 95.95 peratus. Penggunaan yang tinggi dalam kalangan pelancong Malaysia turut menyumbang kepada hubungan pelancongan antara Jakarta dan Bandung.

Sumber : Astro AWANI

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *