KUALA LUMPUR – Hampir RM11 bilion menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah disalurkan kepada penerima yang layak sehingga September 2026, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.6 bilion disalurkan kepada penerima STR melalui tiga fasa pembayaran. Bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion untuk kedua-dua program berkenaan bagi membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan kumpulan rentan.
MOF memaklumkan hampir sembilan juta rakyat layak menerima SARA secara bulanan, manakala STR dibayar setiap suku tahun kepada isi rumah dan warga emas yang memenuhi syarat.
Dari segi penggunaan bantuan, SARA bulanan mencatat kadar penggunaan 99.7 peratus dengan nilai transaksi RM5.2 bilion setakat September. Sementara itu, lebih 20 juta rakyat telah membuat pembelian menerusi program SARA Untuk Semua, bersamaan 90 peratus daripada keseluruhan penerima, dengan nilai transaksi di pasaran tempatan hampir RM1.9 bilion.
Maklumat itu dinyatakan dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai keberkesanan peruntukan RM15 bilion bagi STR dan SARA, termasuk dari segi perbelanjaan asas serta penyaluran bantuan kepada rakyat berpendapatan rendah.
Menurut MOF, keberkesanan kedua-dua program dinilai berdasarkan liputan penerima, penggunaan bantuan, ketepatan sasaran dan keupayaan bantuan memenuhi keperluan asas rakyat.
Sumber : BERNAMA









