SHAH ALAM: Pengacara, Nani Roslan, menafikan spekulasi yang mengaitkan dirinya sebagai wanita yang ditahan bersama bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kes disyaki khalwat di Petaling Jaya.
Nani berkata beliau pada awalnya tidak bercadang memberikan penjelasan, namun mengambil keputusan untuk bersuara selepas namanya dikaitkan dengan pelbagai dakwaan yang menurutnya tidak berasas.
Menerusi kenyataan di Instagram, beliau menegaskan bahawa dirinya bukan wanita yang ditahan dalam kejadian tersebut.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila spekulasi berkenaan membawa kepada komen berunsur lucah, penghinaan dan kenyataan yang menurutnya merendahkan maruah dirinya sebagai seorang wanita.
Nafi terlibat ‘merancang’ kejadian
Nani turut menafikan dakwaan yang mendakwa beliau terlibat merancang insiden berkenaan.
Menurutnya, sepanjang kerjayanya sebagai pengacara profesional, beliau pernah mengendalikan pelbagai program dan majlis melibatkan individu daripada latar belakang serta kecenderungan politik berbeza.
Beliau menegaskan bahawa menjalankan tugas profesional tidak bermaksud dirinya menyokong pandangan politik mana-mana pihak.
Nani turut memaklumkan penglibatannya sebagai hos sebuah program audio siar telah berakhir pada 30 September 2026, sebelum kontroversi berkenaan berlaku.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa rasa ingin tahu terhadap sesuatu isu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyebarkan tuduhan tanpa bukti atau menyerang individu secara peribadi.
Nik Nazmi sahkan dirinya ditahan JAIS
Sebelum ini, Nik Nazmi mengesahkan beliau merupakan seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Petaling Jaya pada 15 Oktober.
Menurut Nik Nazmi, beliau dan beberapa rakan pada awalnya mengadakan perbincangan berkaitan satu projek di Brickfields sebelum perbincangan itu diteruskan di Petaling Jaya. Ketika pegawai JAIS tiba, hanya beliau dan seorang wanita berada di lokasi.
Nik Nazmi bagaimanapun menegaskan bahawa tiada perbuatan sumbang berlaku dan memaklumkan beliau akan memberikan kerjasama terhadap sebarang proses perundangan.
JAIS sebelum itu mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung kesalahan khalwat.









