JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang diamanahkan menjaga kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan selepas mengaku bersalah mendera mangsa sehingga meninggal dunia pada 2022.
Chan Wen Jin, 32, dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu. Hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 3 Oktober 2022.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dan melakukan 36 jam kerja komuniti dalam tempoh enam bulan.
Antara perbuatan yang dipertimbangkan mahkamah ialah memaksa mangsa memakan najis sendiri daripada lampin pakai buang. Rakaman CCTV juga menunjukkan mangsa dihentak di kepala, dirotan, dipaksa melakukan ketuk ketampi dan berdiri untuk tempoh lama.
Mahkamah menolak alasan bahawa perbuatan itu merupakan cara sepertimana mendidik anak sendiri. Hakim menegaskan, jika tertuduh tidak mampu menjaga mangsa, dia sepatutnya menyerahkan kanak-kanak itu kembali kepada bapanya.
Mangsa, Lee See Jie, meninggal dunia ketika berusia tiga tahun selepas kejadian di sebuah rumah di Taman Skudai Ria, Skudai pada 2 Oktober 2022.
Tertuduh pada asalnya didakwa membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebelum mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.









