KUALA LUMPUR – Lawatan negara Raja Jordan, Raja Abdullah II ke Malaysia menyaksikan satu lagi detik penting apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada baginda pada Isnin.
Pengurniaan itu berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara selepas kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata.
Raja Abdullah II kini dalam lawatan negara selama dua hari atas undangan Sultan Ibrahim. Baginda turut diberikan sambutan rasmi di Istana Negara sebelum menghadiri acara bersama Yang di-Pertuan Agong.
Darjah Utama Seri Mahkota Negara yang diwujudkan pada 1958 merupakan antara darjah kebesaran Persekutuan yang boleh dikurniakan secara kehormat kepada raja dan ketua negara asing.
Lawatan ini berlangsung apabila Malaysia dan Jordan meraikan lebih enam dekad hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1965.
Sumber/ Foto : BERNAMA









