MyGOV Malaysia Himpunkan Pelbagai Urusan Kerajaan Dalam Satu Aplikasi
KUALA LUMPUR – Kerajaan kini cuba mempermudahkan segala urusan yang berkaitan dengan agensi kerajaan melalui satu aplikasi iaitu aplikasi MyGOV Malaysia yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan yang sebelum ini perlu diakses menerusi platform yang berbeza-beza.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara perkhidmatan yang kini tersedia termasuk perkhidmatan berkaitan lesen memandu, cukai jalan, semakan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pasport, janji temu klinik kerajaan serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Pengguna turut boleh membuat semakan Wang Tak Dituntut (WTD), manakala perkhidmatan yang lain juga akan ditambah secara berperingkat.
Menariknya, MyGOV Malaysia turut dilengkapi ciri AI Chat yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat dan jawapan berkaitan perkhidmatan kerajaan secara terus menerusi aplikasi berkenaan.
Menurut Fahmi, langkah itu bertujuan mengurangkan keperluan rakyat untuk mencari perkhidmatan kerajaan di pelbagai tempat dan menjadikan urusan harian rakyat lebih mudah serta lancar.
Beliau turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan digital berkenaan dengan memuat turun aplikasi MyGOV Malaysia.
Sumber : BERNAMA
Foto : The Malaysian Reserve
