ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Isu pelarian Myanmar: Anwar persoal sampai bila Malaysia perlu menanggung?

KUALA LUMPUR – Isu penghantaran pulang pelarian Myanmar bukan sekadar soal menghantar mereka keluar dari Malaysia. Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyelesaian kepada masalah yang sudah berlarutan berdekad-dekad itu memerlukan rundingan dengan negara asal.

Anwar berkata, tidak adil untuk mengecam Malaysia kerana mengambil inisiatif menyelesaikan isu berkenaan, sedangkan kerajaan pada masa sama masih mengambil kira kebajikan dan hak asasi pelarian.

Menurut beliau, Malaysia tidak boleh dijangka menampung ratusan ribu pelarian untuk tempoh yang tidak ditentukan tanpa mencari jalan penyelesaian bersama pihak berkuasa Myanmar.

“Pendirian kita adalah untuk melindungi kebajikan mereka dan soal hak asasi manusia,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Profesional (PROFEX) 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC, hari ini.

Anwar berkata, apabila Myanmar bersetuju menerima semula sebahagian pelarian, Malaysia perlu memastikan mereka mendapat perlindungan serta kemudahan yang sepatutnya.

Perkara itu, katanya, akan dibincangkan bersama kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Myanmar, termasuk melalui rundingan yang sedang diusahakan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Presiden Myanmar telah dijemput untuk meneruskan perbincangan bagi melihat ruang penyelesaian terhadap isu tersebut.

Anwar berkata Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomatik kerana jumlah pelarian semakin meningkat, sedangkan masalah itu masih belum mempunyai penyelesaian selepas berlarutan selama beberapa dekad.

Dalam pada itu, beliau mengakui menerima pandangan mengenai kebimbangan terhadap penghantaran pulang pelarian terbabit, termasuk persoalan berkaitan jaminan keselamatan.

Menurut Anwar, setakat ini jaminan keselamatan telah diberikan oleh pihak Myanmar.

Malaysia pada 29 September memulakan fasa pertama penghantaran pulang kira-kira 1,500 warga Myanmar. Kumpulan itu merupakan sebahagian daripada 5,000 individu yang bersetuju untuk pulang secara sukarela dari pusat tahanan.

Sumber : Astro AWANI
Foto : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *