Tak ada lesen memandu, BMW 525 dipandu warga Rohingya disita JPJ
KOTA BHARU – Sebuah BMW 525 disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dikesan dipandu seorang lelaki warga Rohingya berusia 36 tahun yang tidak memiliki lesen memandu.
Kenderaan itu ditahan dalam operasi JPJ di Jalan Pasir Hor pada 19 September lalu.
Menurut JPJ, BMW berkenaan dibeli daripada seorang warga tempatan, namun pemilikannya tidak ditukar kerana warga Rohingya tidak boleh memiliki kenderaan.
Dalam operasi sama, JPJ turut mengambil tindakan terhadap sebuah Toyota Land Cruiser yang dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 51 tahun dan berstatus Pemastautin Tetap. Kenderaan bernilai kira-kira RM780,000 itu disita kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Kedua-dua kes akan dibawa ke mahkamah selepas pemandu dan pemilik gagal membayar kompaun.
Sementara itu, JPJ turut mengesan kegiatan pihak tempatan yang menyewakan motosikal kepada warga asing, khususnya warga Rohingya, pada kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan.
JPJ memaklumkan sebanyak 481,119 saman dikeluarkan kepada pemandu warga asing antara 1 Januari 2024 hingga 15 September lalu atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Sumber : Sinar Harian
