Dua lelaki Orang Asli direman selepas operasi di Tasek Bera
BERA – Dua lelaki dipercayai Orang Asli direman selama dua hari selepas disyaki menghalang penjawat awam ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera (Ramsar), Pahang.
Kedua-duanya, masing-masing berusia 27 dan 61 tahun, ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam ketika operasi dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama beberapa agensi berkaitan.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, pasukan penguat kuasa menahan sebuah lori yang dinaiki kedua-dua lelaki berkenaan selepas mereka disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Antara kesalahan yang disiasat termasuk memasuki Hutan Simpan Kekal tanpa kebenaran, mengambil hasil hutan tanpa kebenaran serta kesalahan lain di bawah akta sama.
Dalam operasi itu, lori berkenaan bersama muatan sawit turut disita.
Kedua-dua lelaki itu juga disyaki enggan bekerjasama dengan penguat kuasa dan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Operasi berkenaan membabitkan UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, Pasukan Gerakan Am serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Perintah reman diluluskan sehingga 25 September bagi membantu siasatan.
Kes ini berlaku dalam konteks penguatkuasaan berterusan terhadap aktiviti penerokaan di kawasan Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera. Sebelum ini, lima individu turut ditahan pada 15 September kerana disyaki menghalang operasi penguat kuasa di kawasan sama.
Sumber : Berita Harian
