ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Kerakyatan Bukan Sekadar Pada Kad Pengenalan, Teo Kok Seong Persoal Penguasaan Bahasa Melayu

BANGI – Apa ertinya menjadi warganegara Malaysia jika bahasa kebangsaan sendiri tidak dikuasai?

Persoalan itu diketengahkan Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong, yang melihat penguasaan Bahasa Melayu sebagai antara asas penting dalam membentuk identiti seorang warganegara.

Menurut beliau, Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi harian, sebaliknya mempunyai kedudukan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang digunakan dalam urusan pentadbiran serta sistem kenegaraan.

Beliau malah membangkitkan persoalan sama ada rakyat Malaysia hari ini benar-benar menguasai bahasa negara sendiri atau tidak.

Katanya, sekiranya satu ujian kemahiran Bahasa Melayu dikenakan kepada pemegang kad pengenalan biru, beliau berpendapat masih ramai yang mungkin gagal menguasainya dengan baik.

Menurutnya, isu tersebut bukan hanya sekadar tentang kemampuan seseorang bertutur dalam Bahasa Melayu, tetapi bakal turut menyentuh persoalan yang lebih besar mengenai identiti dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Teo Kok Seong (Foto: BERNAMA)

Teo Kok Seong turut merujuk kepada satu kejadian kontroversi yang pernah tular di Malaysia pada tahun 2024 membabitkan seorang bukan Melayu yang didakwa tidak dapat berbahasa Melayu ketika berurusan di Jabatan Imigresen bagi memperbaharui pasport.

Namun, beliau berpandangan perbincangan tidak seharusnya terhenti pada tindakan terhadap pegawai yang menegur individu terbabit. Sebaliknya, perkara yang lebih besar yang perlu dibincangkan ialah mengapa masih ada rakyat Malaysia yang tidak menguasai bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, isu penguasaan Bahasa Melayu wajar dibincangkan sebagai isu nasional, lebih-lebih lagi kerana bahasa itu menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan serta digunakan dalam pentadbiran, perundangan dan urusan kenegaraan.

Bagi Teo, menjadi warganegara bukan hanya soal memiliki dokumen pengenalan diri, tetapi turut melibatkan keupayaan seseorang itu dalam memahami dan menguasai bahasa negara sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *