Kementerian Komunikasi Tunggu KPDN, MOF Tetap Syarat Pelesenan e-Dagang
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menunggu terma dan syarat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) sebelum melaksanakan pelesenan terhadap platform e-dagang.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata MCMC mempunyai kuasa untuk melesenkan platform berkenaan di bawah kerangka perundangan sedia ada, namun syarat khusus pelaksanaannya perlu ditetapkan kementerian berkaitan.
“Ya, kami sebenarnya telah mengadakan perbincangan dengan MOF bersama-sama KPDN. Saya fikir keputusan KPDN adalah untuk mengkaji cara mengawal selia platform e-dagang ini.
“MCMC atau Kementerian Komunikasi terlibat kerana di bawah kerangka perundangan Malaysia, kami mempunyai kuasa untuk melesenkan platform e-dagang. Bagaimanapun, mengenai terma dan syarat yang akan dikenakan, kami sebenarnya sedang menunggu arahan atau maklum balas daripada MOF dan khususnya KPDN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Ekspo E-Dagang Rentas Sempadan ASEAN-China (CBE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Teo berkata MCMC bersedia melaksanakan pelesenan itu sebaik sahaja kerangka berkenaan ditetapkan bagi memastikan persekitaran perniagaan yang adil dan persaingan yang saksama dalam sektor e-dagang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan peruncit tempatan berhubung kewujudan sebuah platform e-dagang utama dari China yang menawarkan produk pada harga rendah.
“MCMC bersedia pada bila-bila masa. Kami juga telah berhubung dengan platform berkenaan tetapi sekali lagi, perkara ini bukan hanya menyasarkan platform itu, sebaliknya semua platform e-dagang.
“Kami mahu mewujudkan platform persaingan yang sama rata dan memastikan pengguna Malaysia dilindungi,” katanya.
