ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Terkini

Lelaki Myanmar dakwa bayar RM15,000 kepada ejen untuk masuk Malaysia

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Myanmar yang ditahan dalam Ops Taring Wawasan di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu, mendakwa membayar sekitar RM15,000 kepada seorang ejen bagi menguruskan perjalanan sehingga membolehkannya memasuki Malaysia.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain berkata lelaki berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di terminal berkenaan.

Menurutnya, lelaki terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan hanya mengemukakan salinan dokumen bersaiz A4 yang diragui kesahihannya.

Suspek kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

Perjalanan dari myanmar ke gelang patah dipercayai mengambil masa kira-kira lapan hari.- foto hiasan

Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu mendakwa memasuki Malaysia pada 2024 dengan menaiki kapal laut dari Meiktila, Myanmar ke Gelang Patah, Johor.

Perjalanan berkenaan dipercayai mengambil masa kira-kira lapan hari.

Suspek turut mendakwa membayar sebanyak 7,719,660 kyat, bersamaan kira-kira RM15,000, kepada seorang ejen yang menguruskan perjalanannya dari Myanmar sehingga masuk ke Malaysia.

Selepas berada di Malaysia, lelaki berkenaan dikatakan bekerja sebagai tukang mengetuk dan mengecat kenderaan di sekitar Kulai, Johor.

Ketika ditahan di Kota Bharu, dia mendakwa sedang menunggu bas untuk pulang ke Johor selepas berada di Kelantan bagi menemui seorang rakan.

Lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Sementara itu, PGA memaklumkan usaha risikan, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran serta kemasukan pendatang tanpa izin melalui laluan yang tidak diwartakan.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *