MCMC Siasat Dakwaan Manipulasi Politik Malaysia Guna AI – Fahmi
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan susulan pendedahan syarikat pembangunan kecerdasan buatan (AI), Anthropic, mengenai kewujudan operasi yang didakwa menggunakan teknologi itu untuk memanipulasi kandungan politik di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata siasatan turut meliputi kemungkinan kaedah berkenaan digunakan di platform media sosial lain, termasuk menerusi manipulasi komen dan perbincangan dalam talian.
“Setakat ini saya serahkan kepada MCMC. Mereka telah menyatakan mereka ingin melakukan siasatan.
“Malah, laporan Anthropic sebenarnya telah sendiri berkata bahawa ada percubaan untuk mendekati MCMC tetapi tidak berjaya,” katanya selepas menyertai acara Oxyenergy X Media Prima Merdeka Run di Balai Berita Media Prima, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen, Datuk Azhari Muhidin; serta Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad (MPB), Datuk Farrah Naz Abd Karim.
Anthropic sebelum ini mendedahkan kewujudan kira-kira 1,000 akaun palsu di platform X yang didakwa digunakan dalam operasi berkaitan politik di Malaysia.
Laporan itu turut mendakwa kewujudan laman berita rekaan serta kandungan dan tuduhan palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi AI.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai pihak yang mendalangi operasi berkenaan, namun identiti pihak terbabit masih belum dapat disahkan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata laporan Anthropic yang menjadi asas siasatan MCMC itu lebih tertumpu kepada aktiviti di platform X.
Ditanya mengenai tempoh siasatan, beliau berkata belum dimaklumkan mengenai jangkaan laporan itu siap dan memberi ruang kepada MCMC untuk menjalankan penelitian.
“Saya tidak dimaklumkan lagi. Saya beri mereka sedikit masa untuk siasat,” katanya.
