ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Malaysia Perkukuh Kerjasama Serantau Lindungi Kanak-Kanak Dalam Talian

KUALA LUMPUR – Malaysia memperkukuh kerjasama dengan pengawal selia serantau dan antarabangsa bagi menangani kemudaratan dalam talian yang merentasi sempadan, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kerjasama lebih erat antara pengawal selia dan bidang kuasa diperlukan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.

“Kemudaratan dalam talian tidak terhenti di sempadan negara, begitu juga dengan tindak balas kita. Melalui Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Pengawal Selia (MRRM), kita mahu belajar daripada pengalaman pengawalseliaan yang berbeza, mengenal pasti pendekatan praktikal yang berkesan dan memperkukuh kerjasama untuk melindungi kanak-kanak dalam talian dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena MRRM yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan MCMC bersempena M360 ASEAN 2026, hari ini.

Mesyuarat itu menghimpunkan pembuat dasar dan pengawal selia dari rantau ASEAN serta rakan pengawal selia antarabangsa termasuk Pesuruhjaya eSafety Australia dan Ofcom United Kingdom bagi bertukar pengalaman dan pendekatan dalam memperkukuh keselamatan dalam talian serta kepercayaan digital.

Fahmi berkata kepelbagaian pendekatan pengawalseliaan antara negara merupakan satu kekuatan, namun jurang dalam kawal selia tidak seharusnya membuka ruang kepada eksploitasi.

“Dengan penyelarasan lebih kukuh dalam prinsip kepercayaan digital, jaminan umur dan keselamatan dalam talian, kita lebih berupaya untuk bertindak secara bersama.

“Platform telah membina ruang digital ini, dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan penggunanya,” katanya.

Menurut MCMC, perbincangan turut menekankan kepentingan memperkukuh literasi digital dalam kalangan ibu bapa serta akauntabiliti platform bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian termasuk jenayah siber, buli siber dan penyalahgunaan data peribadi.

Para perwakilan bersetuju bahawa ancaman dalam talian memerlukan penyelesaian rentas sempadan menerusi gabungan kawal selia berkesan, sokongan literasi digital ibu bapa dan akauntabiliti platform yang lebih kukuh.

MRRM itu berlandaskan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 oleh Malaysia serta komitmen serantau menerusi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial Secara Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN.

Deklarasi berkenaan menggalakkan kerjasama, ketelusan dan perkongsian amalan terbaik bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *