ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Kerajaan Ambil Langkah Proaktif Kekang Peningkatan Kes Denggi – Fahmi

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi membendung peningkatan ketara kes denggi ketika ini, terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata antara langkah yang akan dilaksanakan ialah program gotong-royong secara besar-besaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan program berkenaan khususnya di kawasan zon merah atau lokasi yang sedang dilanda wabak denggi.

“Pihak KPKT akan mengadakan program gotong-royong besar-besaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dan ini akan disusuli dengan kenyataan daripada pihak KPKT,” katanya pada sidang media mingguan di sini, Rabu.

Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai perkembangan dan pencapaian program pembiakan nyamuk Wolbachia, termasuk pelaksanaannya di Putrajaya.

Bagaimanapun, katanya, Jemaah Menteri turut mengambil maklum mengenai kesan aktiviti semburan kabus atau fogging terhadap nyamuk Wolbachia yang digunakan sebagai salah satu kaedah kawalan denggi.

“Nyamuk Wolbachia yang mampu merencatkan pembiakan dan penyebaran virus denggi oleh nyamuk Aedes boleh mati ketika proses fogging dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pelaksanaan gotong-royong perdana perlu dipertingkatkan, khususnya di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi membantu menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Jumlah kes denggi di seluruh negara meningkat 66 peratus kepada 65,979 kes setakat minggu epidemiologi ke-35 tahun ini berbanding 39,616 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, jumlah kumulatif kematian akibat denggi turut meningkat 93.8 peratus kepada 62 kes bagi tempoh sama tahun ini berbanding 32 kes pada minggu epidemiologi ke-35 tahun lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *