ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Putera MIC Gesa Laksana 3 Reformasi Segera Dalam Sistem Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR – Putera MIC menggesa kerajaan melaksanakan tiga reformasi segera dalam sistem pendidikan negara, khususnya berkaitan laluan pendidikan tinggi yang memberi kesan langsung kepada generasi muda.

Ketua Putera MIC Kebangsaan, ChM Dr Shatesh Kumar Sangar berkata antara cadangan itu ialah mengkaji semula syarat automatik 10A bagi kemasukan ke Program Matrikulasi, menyelaraskan ekosistem prauniversiti serta mengumumkan status reformasi Pendidikan Moral.

Beliau berkata bagi sesi 2026/2027, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan semua 6,717 calon SPM 2025 yang memperoleh 10A dan ke atas serta memohon Program Matrikulasi diberikan tempat secara automatik tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Dasar ini baik, tetapi masih mempunyai kelompongan. Pelajar yang hanya ditawarkan lapan atau sembilan mata pelajaran oleh sekolah tetapi memperoleh straight A tidak seharusnya dihukum hanya kerana mereka tidak mempunyai peluang mengambil 10 subjek.

“Kerajaan perlu mewujudkan laluan kecemerlangan setara bagi pelajar 8A atau 9A mengikut jumlah maksimum subjek yang ditawarkan sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Shatesh turut mencadangkan kerajaan menerbitkan setiap tahun jumlah pemohon, tawaran, rayuan dan kemasukan akhir Program Matrikulasi mengikut kaum serta kategori B40 bagi meningkatkan ketelusan.

Mengenai ekosistem prauniversiti, beliau berkata Matrikulasi dan Tingkatan Enam/STPM kini berada di bawah KPM, manakala program Asasi Universiti Awam serta universiti pula berada dalam ekosistem Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Katanya, selepas hampir tiga dekad Program Matrikulasi diperkenalkan pada 1998, sudah tiba masanya struktur laluan prauniversiti berkenaan dinilai semula.

“Putera MIC mencadangkan kerajaan mengkaji penyelarasan laluan prauniversiti di bawah KPT, supaya kemasukan prauniversiti, UPU dan kapasiti program universiti dapat dirancang dalam satu ekosistem yang lebih tersusun, telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Shatesh berkata cadangan ketiga ialah kerajaan mengumumkan status kajian dan penambahbaikan terhadap Pendidikan Moral yang diarahkan Menteri Pendidikan kepada Lembaga Peperiksaan pada 3 Mei lepas.

Beliau mempersoalkan sama ada format peperiksaan, kaedah pemarkahan dan struktur Pendidikan Moral baharu akan diperkenalkan mulai 2027.

“Pendidikan bukan ruang untuk mempertahankan sistem lama hanya kerana ia telah lama digunakan. Apabila terdapat kelemahan, kita reform. Apabila terdapat ketidakadilan, kita betulkan.

“Masa depan anak muda mesti menjadi keutamaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *