ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Tujuh Pelajar UiTM Masih Dirawat, Semua Aktiviti Luar KKEC 2026 Dibatalkan

JENGKA, PAHANG: Seramai tujuh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) masih menerima rawatan dan pemantauan perubatan susulan insiden berkaitan haba ketika menyertai acara jalan lasak Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Kampus UiTM Jengka, Pahang.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, pihak universiti memberi perhatian khusus terhadap keadaan kesihatan serta kebajikan semua pelajar yang terlibat.

Menurut beliau, dua pelajar kini ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk menerima rawatan dan pemantauan rapi.

Seorang daripadanya, Liya Zafirah Muhammad dari UiTM Cawangan Perak, masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala seorang lagi, Meor Aqil Wildan dari UiTM Cawangan Perlis, turut berada di bawah pemantauan rapi.

Lima lagi pelajar yang terlibat sedang menerima rawatan di Hospital Jengka.

Mereka ialah Nur Nabihah Musyidah Md Nasri dari UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat, Nur Alia Farhana Abdul Fattah dari UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, Muhamad Adam Azfar Suzaini dan Muhammad Anas Shahrul Nizat dari UiTM Cawangan Johor serta Izzharith Zafran Muhammad Zulkarnain dari UiTM Cawangan Pahang.

Dalam perkembangan sama, UiTM memutuskan untuk membatalkan serta-merta semua aktiviti luar KKEC 2026sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian berkenaan.

Pihak universiti turut memberi jaminan akan terus berhubung dengan pihak hospital serta keluarga pelajar bagi memastikan perkembangan kesihatan mereka dapat dipantau dari semasa ke semasa.

Insiden berkenaan turut mengakibatkan seorang peserta meninggal dunia selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai acara mara lasak sejauh 10 kilometer.

Mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Polis sebelum ini memaklumkan sembilan peserta mengalami masalah kesihatan ketika menyertai acara berkenaan, termasuk mangsa yang meninggal dunia.

Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan, manakala laporan makmal hasil bedah siasat mangsa yang meninggal dunia masih dinantikan bagi membantu melengkapkan siasatan.

UiTM pada masa sama menegaskan aspek keselamatan dan kebajikan pelajar akan terus diberikan keutamaan, khususnya dalam penganjuran program yang melibatkan aktiviti fizikal dan luar kampus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *