Banjir Nepal: Wanita Ditemukan Masih Hidup Selepas Terperangkap 10 Hari
NUWAKOT – Seorang wanita Nepal ditemukan masih hidup selepas terperangkap selama 10 hari di dalam rumahnya yang tertimbus lumpur tebal dan timbunan serpihan susulan banjir besar yang melanda wilayah berkenaan.
Chandrika Shrestha, 64, diselamatkan dari kediamannya di daerah Nuwakot pada Sabtu, sekali gus mencetuskan kegembiraan dalam kalangan anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal yang terlibat dalam operasi berkenaan.
Mangsa ditemukan ketika anggota keselamatan menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit sebelum dibawa keluar dari rumahnya dalam keadaan tubuh diselaputi lumpur.
Timbalan Penguasa Polis, Iqbal Hawari berkata mangsa kemudian diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan.
“Pasukan polis menemuinya ketika mereka sedang membersihkan kawasan itu. Dia kemudian diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada AFP.
Rakaman video yang dikeluarkan Pasukan Polis Bersenjata Nepal menunjukkan hanya sebahagian rumah mangsa masih kelihatan, manakala bahagian bawah kediaman itu tertimbus sepenuhnya dalam lumpur tebal.
Terdahulu, pasukan kecemasan turut memaklumkan seorang lelaki warga China ditemukan masih hidup di dalam sebuah terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa, Nepal.
Kejayaan menyelamatkan kedua-dua mangsa itu memberi suntikan harapan kepada pasukan penyelamat yang terus bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat sejak bencana melanda kawasan sempadan China-Nepal pada 26 Ogos lepas.
Bencana berkenaan berlaku selepas runtuhan glasier dan batuan mencetuskan gelombang besar air serta lumpur seakan-akan tsunami yang membadai kawasan terbabit.
Pasukan tindak balas kecemasan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan ribuan mangsa yang masih hilang.
Menurut agensi pengurusan bencana kebangsaan Nepal, sebanyak 1,344 mayat telah ditemukan di negara itu, manakala kira-kira 5,000 individu masih hilang.
Di China, media kerajaan melaporkan 31 individu maut, manakala 531 lagi masih hilang.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan korban di Nepal dan China sebanyak 1,375 orang, manakala lebih 5,500 lagi masih hilang.
