Malaysia Rancang Hantar Pulang Rohingya, UNHCR Beri Amaran
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam rancangan Malaysia untuk menghantar pulang pelarian Myanmar ke negara asal mereka.
Dalam kenyataan terbaharunya, UNHCR turut memberi peringatan bahawa keadaan keselamatan di Myanmar masih belum kondusif susulan konflik bersenjata dan keganasan yang berterusan.
Menurut UNHCR, sebarang proses penghantaran pulang pelarian perlu dilaksanakan secara sukarela, berdasarkan maklumat yang mencukupi serta dilakukan dengan selamat dan bermaruah.
Badan PBB itu turut menegaskan bahawa prinsip perlindungan pelarian di peringkat antarabangsa tidak membenarkan seseorang dihantar kembali ke negara yang boleh menyebabkan keselamatan atau hak mereka terancam.
Perkembangan itu susulan pengumuman kerajaan Malaysia mengenai rancangan penghantaran pulang pelarian Myanmar secara sukarela.
Kementerian Dalam Negeri sebelum ini memaklumkan seramai 1,476 pelarian Myanmar dijadualkan pulang ke Myanmar pada 29 September dalam fasa pertama program berkenaan.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada persetujuan lebih besar yang membolehkan sehingga 5,000 pelarian Myanmar, termasuk Rohingya, dihantar pulang secara berperingkat.
Pada masa sama, kerajaan Malaysia sebelum ini menegaskan bahawa penghantaran pulang tidak akan dilakukan sekiranya terdapat risiko terhadap keselamatan atau nyawa individu terbabit.
Jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan meneliti terlebih dahulu aspek keselamatan serta kriteria individu yang terlibat sebelum sebarang proses penghantaran pulang dilaksanakan.
Isu berkenaan kembali menjadi perhatian susulan keadaan konflik yang masih berlaku di Myanmar, selain persoalan mengenai tahap keselamatan dan jaminan yang boleh diberikan kepada mereka yang kembali ke negara asal.
UNHCR bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dalam memastikan aspek perlindungan pelarian diberi perhatian sepanjang proses berkenaan.
