Menteri Agama Kecam Peserta Malaysia Bertanding Ratu Cantik Transgender
PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan mengecam tindakan seorang individu yang menyertai pertandingan ratu cantik transgender di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Beliau berkata tindakan berkenaan bukan sahaja boleh menjejaskan imej Malaysia, malah bertentangan dengan ajaran Islam, norma budaya tempatan serta nilai kesopanan yang menjadi pegangan masyarakat negara ini.
“Penganjuran atau penyertaan dalam acara sedemikian tidak pernah mendapat sebarang sokongan, kebenaran atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama mahupun kerajaan Malaysia.
“Kita ingin tegaskan bahawa perbuatan menyerupai jantina berlawanan serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum syarak dan dilarang di bawah perundangan syariah di negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman seorang peserta yang dipercayai transgender wanita membawa nama Malaysia dalam pertandingan berkenaan, sehingga menimbulkan dakwaan acara itu berlangsung di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan dakwaan tersebut tidak tepat kerana pertandingan berkenaan sebenarnya berlangsung di Bangkok.
Beliau berkata semakan mendapati penganjur turut menyenaraikan seorang peserta yang membawa nama Malaysia dalam pertandingan itu.
Sementara itu, Zulkifli berkata pihak berkuasa agama akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan yang boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Masyarakat dianjurkan agar tidak mensensasikan atau mengagung-agungkan perkara yang menyalahi syariat, sebaliknya bersama-sama mempertahankan nilai moral dan akidah ummah,” katanya.
