ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Lebih 20 Pelakon Marvel Sertai Kempen Bebaskan Ahli Politik Palestin, Marwan Barghouti

ISTANBUL – Lebih 20 pelakon yang pernah membintangi filem dan siri televisyen Marvel menyertai kempen antarabangsa bagi menggesa pembebasan ahli politik Palestin, Marwan Barghouti yang kini dipenjarakan Israel.

Menurut Anadolu Ajansi, kempen dikenali sebagai “Free Marwan Now” itu dilancarkan oleh keluarga dan penyokong Barghouti serta mendapat sokongan lebih 200 tokoh daripada bidang perfileman, muzik, kesusasteraan dan kebudayaan lain.

“Kami menyuarakan kebimbangan serius terhadap pemenjaraan berterusan Marwan Barghouti, layanan ganas terhadapnya serta penafian hak undang-undangnya sepanjang berada dalam tahanan,” menurut kenyataan kempen itu yang dimuat naik di Instagram minggu lepas.

Kempen berkenaan turut menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan di seluruh dunia supaya mengambil tindakan bagi mendapatkan pembebasan Barghouti daripada penjara Israel.

Antara pelakon yang menyokong kempen itu ialah Ian McKellen yang terkenal menerusi watak Magneto dalam siri X-Men, selain Rebecca Hall, Riz Ahmed, Jason Flemyng, Elliot Page, Hugo Weaving, Zawe Ashton, Emma Corrin, May Calamawy, Brian Cox, Dan Stevens, Rob Delaney dan Kingsley Ben-Adir.

Turut menandatangani kempen itu ialah bintang Marvel Cinematic Universe (MCU) Mark Ruffalo yang membawa watak Bruce Banner/The Hulk, Benedict Cumberbatch sebagai Doctor Strange dan Don Cheadle sebagai James Rhodes/War Machine.

Cate Blanchett yang memegang watak Hela dalam Thor: Ragnarok, Tilda Swinton sebagai Ancient One, Tatiana Maslany menerusi watak She-Hulk serta Daniel Bruhl yang dikenali sebagai Zemo turut menyokong kempen berkenaan.

Barghouti dilahirkan pada 6 Jun 1958 di Kobar, barat laut Ramallah di Tebing Barat yang diduduki dan menyertai gerakan Fatah ketika berusia 15 tahun.

Beliau ditahan Israel pada 1976 ketika berusia 18 tahun dan dipenjarakan untuk satu tempoh, ketika mempelajari bahasa Ibrani.

Sepanjang pengajian di universiti, Barghouti beberapa kali ditahan sebelum dikenakan tahanan pentadbiran pada 1985 dan kemudiannya tahanan rumah.

Beliau muncul sebagai antara tokoh utama Intifada Pertama yang bermula di wilayah Palestin pada 1987 sebelum Israel mengusirnya ke Jordan, tempat beliau menetap selama tujuh tahun.

Barghouti kembali ke Tebing Barat pada 1994 di bawah Perjanjian Oslo yang ditandatangani antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Pada 1996, beliau dipilih sebagai anggota Majlis Perundangan Palestin mewakili Fatah bagi kawasan Ramallah dan Al-Bireh sebelum dilantik sebagai setiausaha agung gerakan itu.

Pada 2002, tentera Israel menahan Barghouti di kediamannya di Ramallah.

Mahkamah Israel kemudiannya mensabitkannya atas pertuduhan termasuk membunuh dan cubaan membunuh, sebelum menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebanyak lima kali serta tambahan 40 tahun.

Hukuman itu dijatuhkan susulan sabitan berkaitan serangan ketika Intifada Kedua yang mengorbankan lima orang, menurut laporan ketika itu.

Barghouti yang mempelajari sains politik di Universiti Birzeit memperoleh ijazah sarjana muda dalam sejarah dan sains politik serta ijazah sarjana dalam hubungan antarabangsa. Beliau turut menamatkan pengajian doktor falsafah ketika berada dalam penjara.

Beliau menghasilkan beberapa buku termasuk The Promise, Resistance to Arrest dan One Thousand Days in a Solitary Confinement Cell.

Pada Februari 2024, Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir mengarahkan Barghouti dipindahkan dari Penjara Tentera Ofer ke Penjara Ramon, sebelum ditempatkan dalam kurungan bersendirian.

Pihak berkuasa Israel mendakwa tindakan itu dibuat susulan maklumat risikan mengenai rancangan untuk mencetuskan kebangkitan di Tebing Barat.

Keputusan berkenaan meningkatkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin mengenai keselamatan Barghouti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *