Jasa, Legasi Abdul Wahab Dalam Penubuhan MRSM Terus Terpahat
KUALA LUMPUR – Jasa dan sumbangan besar bekas Pengarah Bahagian Latihan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Allahyarham Abdul Wahab Alwi, yang mencetuskan idea penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), akan terus terpahat dalam sejarah pendidikan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Allahyarham merupakan antara tokoh penting di sebalik cetusan idea serta usaha awal penubuhan institusi pendidikan berkenaan.
“Daripada sebuah idea yang diperjuangkan dengan penuh kesungguhan, lahirlah sebuah institusi yang sehingga hari ini terus membuka peluang pendidikan dan membentuk masa depan anak-anak bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Abdul Wahab meninggal dunia pada 3 pagi tadi pada usia 84 tahun.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata Allahyarham bersama pasukannya telah menyediakan kertas cadangan serta berusaha mendapatkan sokongan sehingga penubuhan MRSM diluluskan pada 1970.
Beliau berkata Allahyarham kemudiannya turut memainkan peranan dalam pemilihan tenaga pengajar dan pengetua bagi MRSM Seremban, Negeri Sembilan, yang merupakan MRSM pertama negara dan mula beroperasi pada 1972.
Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Beliau juga berharap keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
