Strategi Rasulullah SAW terus jadi panduan usaha membangunkan Malaysia – Anwar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan strategi Rasulullah SAW dalam membangunkan pentadbiran dan masyarakat di Madinah terus menjadi antara rujukan penting dalam usaha melakukan perubahan serta islah di Malaysia.
Menurut beliau, membangunkan sebuah negara majmuk dalam suasana abad ke-21 bukan sesuatu yang mudah, khususnya dengan pelbagai cabaran politik dan sosial yang perlu dihadapi.
Namun, beliau berkata usaha untuk membina Malaysia yang lebih baik perlu diteruskan dengan memastikan keperluan asas rakyat terjamin, keamanan dipelihara serta keadilan dan ihsan menjadi asas dalam pentadbiran.
Dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Maulidur Rasul, Anwar berkata pendekatan Rasulullah SAW ketika membangunkan Madinah menunjukkan kepentingan membela golongan miskin dan lemah, selain memberikan ruang kepada masyarakat yang berbeza latar belakang untuk hidup secara harmoni.
Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan sistem ekonomi yang lebih adil dengan menolak amalan monopoli serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai masyarakat secara lebih menyeluruh.
Menurut Anwar, pengalaman Rasulullah SAW membangunkan Madinah selepas melalui tempoh panjang usaha islah turut memperlihatkan bagaimana perpaduan mampu mengubah masyarakat yang sebelum itu berdepan perpecahan.
Katanya, perselisihan antara kelompok Aus dan Khazraj yang sekian lama menggugat kestabilan Yathrib akhirnya dapat diredakan melalui semangat perpaduan dan pembentukan masyarakat yang lebih kukuh.
Anwar berkata pendekatan tersebut turut membentuk masyarakat yang memiliki akhlak, kematangan sosial dan kesedaran terhadap tanggungjawab kepada Tuhan serta sesama manusia.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan beliau sentiasa mengharapkan yang terbaik buat seluruh rakyat dan berusaha memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman, stabil serta sejahtera.
Beliau turut berharap Malaysia terus mendapat keberkatan dan rakyatnya dikurniakan kehidupan yang dipenuhi kasih sayang serta rezeki yang berkat.
