ECRL Kota Bharu-Gombak disasar mula operasi Disember ini
GOMBAK: Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi jajaran Kota Bharu-Gombak disasarkan mula beroperasi pada Disember ini, lebih awal berbanding jadual asal pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sasaran itu bagaimanapun bergantung kepada kelancaran proses ujian serta pentauliahan yang sedang dilaksanakan tanpa menjejaskan aspek keselamatan.
Menurut beliau, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bersama kontraktor utama, China Communications Construction Company Ltd (CCCC), perlu mempercepatkan proses berkenaan bagi membolehkan perkhidmatan menghubungkan Kelantan dan Selangor dimulakan menjelang cuti hujung tahun.
Katanya, antara proses yang sedang dijalankan ialah Ujian Integrasi Sistem (SIT), manakala Fault-Free Run (FFR) dijadualkan dilaksanakan pada September.
“Biasanya proses ini mengambil masa dua hingga tiga bulan. Jadi, kita mahu melihat bagaimana tempoh berkenaan boleh dipendekkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Comprehensive Inspection Train (CIT), pengenalan konsep reka bentuk stesen utama ECRL serta permulaan SIT dan FFR di Stesen Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.
Anthony berkata, usaha mempercepatkan operasi ECRL dibuat selepas mengambil kira pelbagai ujian terhadap tren berkenaan yang telah dilaksanakan lebih awal, termasuk ujian di kilang di China.
Beliau menjelaskan SIT akan menguji integrasi pelbagai sistem dalam operasi ECRL, termasuk sistem elektrik dan isyarat sebelum proses FFR dijalankan.
Katanya, set tren pertama dan E-Loco masing-masing perlu menjalani FFR sejauh 8,000 kilometer di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Langkah itu bagi memastikan tahap keselamatan serta kebolehpercayaan operasi memenuhi piawaian dan keperluan perundangan sebelum perkhidmatan komersial dimulakan.
“FFR merupakan antara proses penting sebelum operasi komersial kerana tren akan bergerak di landasan sebenar, namun tanpa membawa penumpang,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony menegaskan usaha mempercepatkan proses ujian tidak bermakna mana-mana aspek keselamatan akan diketepikan.
“Kita lebih takut daripada anda. Saya lebih takut daripada anda kalau ada risiko. Sudah tentu kita mengambil semua pertimbangan,” katanya.
Sementara itu, projek ECRL Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu dan Gombak kini mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 95.08 peratus setakat Julai.
Bagi Fasa 2 yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang pula, projek itu dijangka siap pada Disember 2027 dan mula beroperasi pada Januari 2028.
ECRL sepanjang 665 kilometer itu bakal menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang, sekali gus meningkatkan hubungan pengangkutan serta membuka peluang kepada perkembangan ekonomi dan pembangunan wilayah.
