Kerajaan Perpaduan berdepan cabaran politik ‘talam dua muka’ – Kamil Munim
AYER KEROH: Keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa berdepan cabaran susulan tindakan pihak tertentu yang dikatakan lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding kepentingan rakyat dan negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, keadaan itu tidak seharusnya dipandang ringan ketika kerajaan sedang berusaha mengukuhkan semula keyakinan rakyat serta masyarakat antarabangsa terhadap pentadbiran negara.
Menurut beliau, Perdana Menteri tetap menunjukkan sikap berjiwa besar meskipun berdepan pelbagai cabaran dan tekanan politik.
Beliau berkata, kestabilan negara perlu terus menjadi keutamaan dan tidak seharusnya dikorbankan demi kepentingan politik sesetengah pihak.
“Kegelojohan pihak tertentu yang meletakkan kepentingan politik mereka mengatasi kepentingan rakyat dan negara tidak wajar dipandang ringan,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Khamis.
Dalam pada itu, Kamil menegaskan AMK tidak mahu dilihat sekadar menjadi pihak yang menyokong setiap keputusan kerajaan tanpa membuat teguran atau memberikan pandangan.
Sebaliknya, katanya, AMK akan terus mempertahankan perkara yang benar selain bersedia menyuarakan pandangan sekiranya terdapat perkara yang boleh diperbaiki.
“Kita adalah sebahagian daripada kerajaan dan kita mempertahankan perkara yang benar.
“Namun, apabila sesuatu perkara boleh diperbaiki, kita mesti berani menyatakan pandangan berdasarkan fakta, angka, hujah dan adab.
“Kesetiaan kepada perjuangan tidak bermaksud kita kehilangan keberanian untuk bertanya,” katanya.
