Rakyat Malaysia Bakal Nikmati Data 10 GB Percuma Sempena HKHM 2026
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia bakal menikmati Insentif Rebat RAHMAH HKHM 2026 berupa 10 gigabait (GB) data percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata inisiatif dengan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YES itu terbuka kepada pengguna prabayar dan pascabayar warganegara yang layak.
Beliau berkata pemberian data percuma berkenaan akan disalurkan dalam dua fasa, masing-masing 5GB pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos, dan 5GB lagi pada Hari Malaysia, 16 September.
“Perincian kaedah dan tempoh penebusan akan diumumkan oleh syarikat telekomunikasi terlibat, manakala Soalan Lazim (FAQ) berkaitan akan dimuat naik di laman web Kementerian Komunikasi dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik HKHM 2026 di Menara Komunikasi, Putrajaya, hari ini.
Dalam majlis sama, Fahmi mengumumkan nilai keseluruhan penajaan HKHM 2026 setakat ini mencecah RM48.63 juta, membabitkan sumbangan daripada 139 rakan strategik sektor swasta dan korporat.
Katanya, jumlah berkenaan meningkat 118 peratus berbanding RM22.3 juta yang direkodkan tahun lepas.
Antara penyumbang utama sambutan tahun ini ialah Astro sebagai Penaja Platinum menerusi sumbangan bernilai RM7 juta, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat media itu dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan menerusi pelbagai platform penyiaran dan promosi.
Daripada jumlah RM48.63 juta itu, RM2.7 juta merupakan sumbangan tunai yang disalurkan ke dalam Akaun Amanah Sekretariat Merdeka (AASM), manakala RM45.93 juta lagi dalam bentuk barangan dan perkhidmatan (in-kind).
“Sumbangan barangan dan perkhidmatan ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong kelancaran program.
“Sebahagian daripadanya akan diedarkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada pengunjung Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya dan Sambutan Hari Malaysia di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak,” katanya.
Mengenai agihan nilai tajaan, Fahmi berkata 50 peratus diperuntukkan bagi promosi, 30 peratus untuk barangan agihan kepada pengunjung dan 20 peratus disalurkan kepada jawatankuasa penganjuran.
Beliau berkata bagi menggalakkan penglibatan sektor korporat, Kementerian Kewangan (MOF) sekali lagi meluluskan HKHM 2026 sebagai Projek Berkepentingan Nasional di bawah subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Kelulusan itu membolehkan penaja barangan dan perkhidmatan bagi tempoh 1 April hingga 16 September 2026 membuat tuntutan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had RM15 juta.
Bagaimanapun, susulan peningkatan ketara sumbangan barangan dan perkhidmatan tahun ini, Kementerian Komunikasi akan mengemukakan rayuan kepada MOF supaya mempertimbangkan kenaikan had insentif potongan cukai berkenaan.
“Saya memberi jaminan setiap sen dan bentuk sumbangan yang diterima akan diurus secara telus, berhemah dan bertanggungjawab demi menjayakan sambutan kebangsaan tahun ini,” katanya.
