“Allahyarham Cik Man Suka Berjenaka, Namun Berpendirian Tegas” – Isteri
TANAH MERAH – Jenazah pelakon veteran, Kamarool Yusoff, 68, yang lebih dikenali sebagai Cik Man, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima di sini pada 11.50 pagi tadi.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Mukim Kuala Paku.
Lebih 500 ahli keluarga, rakan artis dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham, termasuk pelawak Amir Raja Lawak, Atu Zero dan Mamak Puteh.
Isteri Allahyarham, Norliza Mohd Aduni, 49, berkata keadaan kesihatan suaminya semakin merosot sejak kira-kira tiga minggu lalu apabila sering mengadu keletihan.
Beliau berkata pada malam kelmarin, Allahyarham mengadu sakit gastrik sebelum mengalami sesak nafas.
“Saya membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah, namun doktor terpaksa menidurkannya kerana keadaan jantungnya lemah.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi saya ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tanah Merah petang semalam,” katanya ketika ditemui di Kampung Gual Ipoh di sini hari ini.
Norliza berkata sepanjang 30 tahun melayari kehidupan berumah tangga, Allahyarham merupakan seorang suami yang penyayang, tidak berkira dan sentiasa berusaha memenuhi keperluan keluarga.
“Allahyarham seorang yang suka berjenaka, tetapi dalam masa sama mempunyai pendirian yang tegas,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan penghormatan terakhir, termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan isteri.
Menurutnya, kehadiran rakan-rakan pempengaruh dari Kelantan serta penduduk kampung yang mengenali Allahyarham turut memberi kekuatan kepada keluarga dalam menghadapi kehilangan itu.
“Allahyarham sangat mesra dengan penduduk kampung. Ramai yang hadir hari ini kerana mengenali sikapnya yang mudah didekati dan sentiasa membantu orang lain,” katanya.
