Juruterbang Warga Malaysia Diberkas, Seludup 25 Kilogram Dadah Di Jakarta
KUALA LUMPUR – Seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA (ekstasi) bersama sejumlah kecil syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Suspek ditahan sejurus tiba dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada malam Selasa lalu.
Penahanan dilakukan selepas pegawai kastam mengesan imej mencurigakan pada bagasi kru menerusi pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas sinar-X.
Hasil pemeriksaan lanjut menemui 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dengan anggaran berat kira-kira 25 kilogram, selain 2.7 gram syabu.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu, ekstasi dan kokain.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah dan dijanjikan bayaran kira-kira RM50,000 bagi membawa bekalan tersebut ke Jakarta sebelum diserahkan kepada anggota sindiket.
