ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

MCMC Wajibkan Pemberi Perkhidmatan Sekat Kandungan Mudarat Dalam Tempoh 24 Jam

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mewajibkan semua Pemberi Perkhidmatan Berlesen mengambil tindakan terhadap kandungan memudaratkan dalam tempoh yang ditetapkan, termasuk menyekat akses kepada kandungan berkeutamaan tinggi dalam masa 24 jam.

Langkah itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tempoh) 2025 yang dikuatkuasakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bagi mengekang penularan berita palsu, maklumat palsu dan maklumat salah pada peringkat awal.

Menurut Kementerian Komunikasi, kandungan berkeutamaan tinggi seperti penipuan kewangan perlu dijadikan tidak boleh diakses dalam tempoh 24 jam bagi membolehkan proses penilaian, pengesahan dan tindakan susulan dilaksanakan.

“Bagi kandungan berkeutamaan tinggi seperti penipuan kewangan, kandungan tersebut hendaklah dijadikan tidak boleh diakses dalam tempoh 24 jam bagi membolehkan penilaian, pengesahan dan tindakan lanjut dilaksanakan,” menurut jawapan bertulis kementerian di Dewan Rakyat.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, yang meminta penjelasan mengenai mekanisme kerajaan mengawal penyebaran berita palsu, maklumat palsu dan maklumat salah, khususnya dalam tempoh kritikal sebelum kandungan berkenaan tersebar secara meluas.

Kementerian memaklumkan, antara 1 Januari 2022 hingga 31 Mei 2026, MCMC telah mengemukakan sebanyak 63,215 permohonan kepada penyedia platform bagi menurunkan kandungan palsu, dengan 54,626 kandungan atau 86 peratus berjaya diturunkan.

Selain penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, MCMC turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui pelancaran Chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) pada 28 Januari 2025.

Sistem yang menyokong portal Sebenarnya.my itu membolehkan orang ramai menyemak kesahihan maklumat dengan lebih pantas dan mudah.

Sehingga 31 Mei lalu, AIFA telah memproses sebanyak 197,403 mesej dengan purata 404 mesej setiap hari, manakala sebanyak 1,016 artikel semakan fakta diterbitkan sepanjang tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Mei 2026.

Dalam usaha memperkukuh literasi digital, kementerian turut melaksanakan Kempen Internet Selamat di sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti.

Sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 1,938 program telah dianjurkan di seluruh negara dengan penyertaan seramai 2,136,941 peserta.

Menurut kementerian, pendekatan yang menggabungkan penguatkuasaan undang-undang, kerjasama strategik dengan penyedia platform digital, penggunaan teknologi AI serta pemerkasaan literasi digital akan terus diperkasakan bagi membendung penyebaran berita palsu dan maklumat salah.

Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan ekosistem digital negara terus terpelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *