Harga Tiket Perlawanan Final Argentina-Sepanyol Paling Murah RM28,248
NEW YORK – Perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina mencipta rekod baharu apabila muncul sebagai acara sukan paling mahal dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) dari segi harga tiket di pasaran jualan semula.
Berdasarkan data platform jualan tiket sekunder, TickPick, purata harga tiket bagi aksi final tersebut mengatasi beberapa acara sukan berprestij lain termasuk Super Bowl dan Final NBA.
Setakat ini, harga tiket paling murah untuk menyaksikan perlawanan di Stadium MetLife ialah AS$6,943 (kira-kira RM28,248) bagi satu tiket, sedikit menurun berbanding sekitar AS$7,200 (RM29,304) sebelum Argentina menewaskan England pada aksi separuh akhir awal pagi tadi.
Purata harga tiket yang dibeli peminat pula mencecah AS$11,327 (RM46,101), sekali gus menjadi rekod tertinggi pernah dicatatkan bagi acara sukan di AS.
Rekod pembelian tiket paling mahal setakat ini melibatkan dua tempat duduk di Seksyen 115A Stadium MetLife yang dijual pada harga AS$28,479 (RM115,909) setiap satu, menjadikan nilai keseluruhan pembelian mencecah AS$56,958 (RM231,818).
Menurut TickPick, berikut ialah antara acara sukan paling mahal dalam sejarah AS berdasarkan purata harga pembelian tiket:
- Final Piala Dunia 2026: Sepanyol lwn Argentina – AS$11,327 (RM46,101)
- Super Bowl LVIII (2024): San Francisco 49ers lwn Kansas City Chiefs – AS$9,411 (RM38,301)
- Super Bowl LV (2021): Tampa Bay Buccaneers lwn Kansas City Chiefs – AS$7,313 (RM29,764)
- Super Bowl LIV (2020): Kansas City Chiefs lwn San Francisco 49ers – AS$6,546 (RM26,643)
- Final NBA 2026 (Perlawanan Ketiga): New York Knicks lwn San Antonio Spurs – AS$6,308 (RM25,673)
Sementara itu, harga tiket bagi perlawanan penentuan tempat ketiga antara Perancis dan England jauh lebih rendah, dengan tiket paling murah dijual sekitar AS$900 (RM3,663).
Harga tiket perlawanan tersebut turut menurun hampir AS$300 (RM1,221) selepas England tewas kepada Argentina di peringkat separuh akhir.
Piala Dunia 2026 turut dianggap sebagai edisi paling mahal dalam sejarah kejohanan itu berdasarkan trend harga tiket sepanjang saingan berlangsung.
Menurut data SeatPick, purata harga tiket ketika kejohanan bermula bulan lalu adalah sekitar AS$1,622 (RM6,601), sebelum meningkat kepada AS$4,162 (RM16,939) menjelang aksi separuh akhir.
Bagaimanapun, tidak semua perlawanan menyaksikan peningkatan harga di pasaran sekunder.
Antara yang mencatatkan penurunan ketara ialah aksi suku akhir melibatkan Sepanyol dan Belgium.
Perlawanan itu menyaksikan harga tiket menjunam hampir 60 peratus selepas Amerika Syarikat dan Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo tersingkir lebih awal daripada kejohanan, sekali gus mengurangkan permintaan dalam kalangan penyokong.
