ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

PRN Johor: Tun Mahathir Gesa Kekuatan Politik Melayu Diperkukuh

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini menunjukkan bahawa penyatuan orang Melayu mampu mengukuhkan kembali kedudukan politik mereka.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Rabu, Dr Mahathir berkata walaupun bentuk dan mekanisme kerjasama politik yang berlaku masih belum jelas, perkembangan itu wajar dilihat sebagai satu langkah ke arah memperkukuh kekuatan politik orang Melayu.

“Walaupun bentuk kerjasama itu masih samar-samar dari segi struktur dan ikatannya, ia perlu diterima sebagai satu langkah ke arah usaha memperkukuhkan kekuatan politik orang Melayu,” katanya.

Menurut beliau, kekuatan politik yang diperoleh perlu dimanfaatkan untuk mengangkat martabat orang Melayu, memelihara agama Islam serta mempertahankan kedaulatan negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kekuatan tersebut bukan bertujuan menekan atau menafikan hak kaum lain, sebaliknya digunakan bagi mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan bersama.

“Apabila orang Melayu bersatu dan mempunyai kekuatan politik, ia memberi keyakinan kepada mereka untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya tanpa mempertikaikan hak-hak kaum lain,” katanya.

Dr Mahathir turut berpandangan bahawa pendekatan yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan telah menyumbang kepada kemakmuran bukan sahaja kepada orang Melayu, malah semua kaum di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar orang Melayu terus memperkukuh perpaduan dan kekuatan politik demi memastikan kedaulatan negara serta kepentingan tanah air terus terpelihara.

Pada PRN Johor Ke-16 Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Daripada jumlah itu, UMNO memenangi 36 kerusi, MCA lapan kerusi dan MIC empat kerusi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *