Anwar Umum Calon PH PRN Negeri Sembilan Malam Esok
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) dijadual mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dalam satu majlis di Dataran Melang, Kuala Pilah, malam esok.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi PH, pengumuman calon itu akan disempurnakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis berkenaan diadakan menjelang PRN Negeri Sembilan yang menetapkan hari penamaan calon pada 18 Julai, manakala pengundian berlangsung pada 1 Ogos depan.
Turut dijangka hadir ialah Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, serta Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sebelum ini, Aminuddin mengesahkan PH akan bertanding secara solo di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Berdasarkan agihan kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 16 kerusi, DAP di 11 kerusi, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) di sembilan kerusi.
Setakat ini, DAP telah mengumumkan beberapa calon bagi kerusi yang akan ditandinginya.
Anthony Loke sebelum ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandangnya sejak tiga penggal lalu.
Selain itu, pegawai penyelidik kepada seorang EXCO Negeri Sembilan, S. Mugunthan, 40, diumumkan sebagai calon baharu DAP bagi DUN Seremban Jaya, menggantikan penyandang empat penggal, Datuk P. Gunasekaran yang tidak mempertahankan kerusi berkenaan.
DAP turut mempertaruhkan Penolong Setiausaha DAP Negeri Sembilan yang juga seorang peguam, Lee Kai Yet, sebagai calon baharu di DUN Mambau.
