ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Lebih Sedekad Cetus Cadangan, Sultan Selangor Berkenan Rasai Pengalaman Menaiki LRT3

SHAH ALAM – Selepas lebih sedekad mencetuskan idea pembinaan sistem rel baharu di Shah Alam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang kini menjadi antara tulang belakang pengangkutan awam di Selangor.

Hasrat pembinaan laluan itu tercetus selepas baginda menerima pelbagai aduan dan surat daripada rakyat mengenai kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing, khususnya di laluan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Keberangkatan baginda menaiki sendiri LRT3 hari ini menjadi detik simbolik apabila cadangan yang lahir daripada suara rakyat akhirnya direalisasikan dan kini dimanfaatkan oleh ribuan pengguna setiap hari.

Sultan Sharafuddin tiba di Stesen Bandar Utama kira-kira jam 10.30 pagi bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda kemudian berkenan menaiki gerabak khas dari Stesen Bandar Utama ke Stesen Johan Setia, melalui 20 stesen dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam.

Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa syukur kerana projek infrastruktur pengangkutan awam yang sekian lama dinantikan akhirnya dapat direalisasikan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan.

“Perkhidmatan tren ini merupakan kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat.

“Alhamdulillah, akhirnya LRT3 ini siap dan boleh digunakan. Beta percaya ada hikmah yang Allah SWT ingin tunjukkan di sebalik kelewatan projek ini,” titah baginda.

Baginda turut melahirkan harapan agar lima stesen yang sebelum ini ditangguhkan pembinaannya iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik dapat disiapkan seperti dirancang kerana bakal memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, Sultan Sharafuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada Prasarana atas kejayaan merealisasikan operasi LRT3 yang disifatkan mampu membawa manfaat besar kepada penduduk Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Prasarana, MRCB dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pembinaan serta pengoperasian laluan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, baginda dimaklumkan lebih 13,000 individu telah menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen sepanjang pelaksanaan projek tersebut.

“Walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, kejayaan sebenar projek ini adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pembinaannya,” titah baginda.

Baginda berharap operasi LRT3 akan terus berjalan lancar serta menggesa rakyat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu bagi menggalakkan budaya penggunaan pengangkutan awam ke arah sistem mobiliti yang lebih moden, lestari dan berkualiti.

Laluan LRT3 Shah Alam dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun lalu yang turut mengumumkan tambang percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai untuk semua penumpang, termasuk perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana di sepanjang laluan tersebut.

Projek bernilai RM16.63 bilion itu merupakan antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan awam negara.

Laluan berkenaan turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian menerusi 13 laluan khusus bagi meningkatkan kesalinghubungan kepada pengguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *