ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Guna AI Tipu Permohonan Kerja, Tidak Lagi Terhad Resume Palsu

KUALA LUMPUR – Kira-kira 15 peratus calon yang menjalani saringan sebelum diambil bekerja didapati mempunyai sekurang-kurangnya satu ketidakpadanan dalam rekod mereka, menurut dapatan Indeks Risiko Saringan Latar Belakang Kebangsaan (NBSRI).

Indeks yang dibangunkan syarikat pakar saringan latar belakang, Venovox Sdn Bhd itu adalah berdasarkan analisis terhadap kira-kira 300,000 rekod saringan merangkumi 20 sektor industri.

Antara ketidakpadanan yang dikenal pasti ialah maklumat sejarah pekerjaan yang tidak tepat, pemalsuan kelayakan akademik, isu berkaitan identiti, penyelewengan kewangan serta faktor yang boleh menjejaskan reputasi seseorang calon.

Ketua Pegawai Eksekutif Venovox, Sharmila Gunasekaran berkata risiko dalam proses pengambilan pekerja kini semakin kompleks berikutan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan manipulasi identiti dan pemalsuan kelayakan dilakukan dengan lebih canggih.

Beliau berkata masih terdapat organisasi yang melihat proses pengambilan pekerja sebagai fungsi rutin sumber manusia, sedangkan setiap pengambilan memberi akses kepada aset penting syarikat termasuk sistem kewangan, pangkalan data pelanggan, harta intelek dan maklumat sulit.

“Dapatan kajian menunjukkan tahap risiko pengambilan pekerja berbeza mengikut industri, fungsi pekerjaan dan peringkat jawatan, sekali gus menuntut amalan saringan yang lebih menyeluruh dan bersasar,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Menurut Sharmila, sektor perkhidmatan profesional dan perniagaan merekodkan antara kadar ketidakpadanan tertinggi walaupun calon dalam sektor itu lazimnya dianggap mempunyai risiko pengambilan yang lebih rendah.

Beliau berkata ketidakpadanan berkaitan sejarah pekerjaan kekal menjadi penemuan paling lazim, termasuk jawatan yang dibesar-besarkan, tempoh pekerjaan yang tidak tepat, jurang pekerjaan yang tidak didedahkan serta skop tugas yang diperluaskan.

Katanya, proses saringan juga berjaya mengesan beberapa kes membabitkan identiti palsu, sijil akademik yang dipalsukan, rekod jenayah yang tidak didedahkan serta individu yang mempunyai kaitan dengan salah laku kewangan atau isu reputasi.

“Penemuan ini membantu organisasi mengelakkan kesilapan dalam pengambilan pekerja yang boleh mengakibatkan kerugian besar,” katanya.

Beliau berkata organisasi yang mampu mengimbangi kecekapan proses pengambilan dengan pengesahan latar belakang yang menyeluruh akan lebih bersedia mengurus risiko tenaga kerja pada masa depan.

Sharmila turut berpandangan risiko tenaga kerja kini sama penting dengan aspek keselamatan siber, sambil mengingatkan bahawa ancaman kepada organisasi pada masa depan mungkin hadir melalui calon yang kelihatan meyakinkan, bukannya serangan siber semata-mata.

Sementara itu, Chartered Fellow Institut Bertauliah Pembangunan Personel dan Sumber Manusia United Kingdom (CIPD UK) dan Fellow Institut Sumber Manusia Australia (AHRI), Prakash Santhanam berkata penipuan dalam proses pengambilan pekerja kini semakin canggih dengan penggunaan AI generatif dan AI ejen.

Beliau berkata teknologi itu membolehkan calon menghasilkan resume yang lebih meyakinkan, menyesuaikan surat iringan, membina portfolio, memanipulasi jawapan penilaian serta menggunakan teknologi deepfake ketika temu duga secara maya.

Menurutnya, perkembangan itu menimbulkan cabaran baharu dari segi etika penggunaan AI, pengesahan identiti, integriti calon serta penilaian kompetensi.

Sehubungan itu, beliau berkata organisasi tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada resume, penilaian dalam talian dan temu duga berstruktur, sebaliknya perlu melaksanakan proses pengambilan yang lebih menyeluruh.

Beliau mencadangkan pendekatan itu merangkumi temu duga berasaskan tingkah laku, simulasi tugasan, kajian kes, pengesahan identiti, semakan rujukan, pengesahan kelayakan akademik serta penilaian prestasi sepanjang tempoh percubaan.

Prakash berkata majikan juga wajar menetapkan garis panduan yang jelas mengenai penggunaan AI dalam proses pengambilan pekerja, selain memastikan pegawai pengambilan mempunyai keupayaan mengenal pasti petunjuk penipuan yang dibantu teknologi berkenaan.

“Dasar pengambilan pekerja, kaedah penilaian dan kemahiran penemuduga perlu berkembang seiring dengan perubahan risiko yang dibawa oleh AI,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *