Disko Retro, Hippie Di Tepi Sungai Kelantan
KOTA BHARU – Program hiburan bertemakan disko retro dan hippie era 1960-an hingga 1980-an yang dipercayai diadakan di sebuah restoran di tepi Sungai Kelantan baru-baru ini didapati berlangsung tanpa lesen dan kini disiasat pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menerima aduan orang awam berhubung penganjuran program berkenaan dan sedang menjalankan siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata penganjuran program hiburan tanpa lesen merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7 Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“MPKB-BRI memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan.
“Program berkenaan juga didapati tidak mematuhi Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 serta Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003,” katanya ketika dihubungi.
Hilmi berkata sekiranya siasatan mendapati berlaku penyalahgunaan premis, lesen perniagaan pemilik juga boleh ditarik balik kerana melanggar syarat di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.
Beliau berkata individu yang terbabit dalam program berkenaan turut boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sebatan sehingga enam kali, jika disabitkan kesalahan.
Program berkenaan, yang dipercayai membabitkan pergaulan antara lelaki dan wanita, tular di media sosial sejak malam tadi dan mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, Hilmi mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan lesen dan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan sebelum menganjurkan sebarang program hiburan.
“Mana-mana penganjuran program hiburan hendaklah mematuhi prosedur serta syarat yang ditetapkan, termasuk mendapatkan kelulusan dan lesen daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
