Pemangsa Seksual Kini Dalam Kalangan Kanak-Kanak, Remaja
KUALA LUMPUR – Corak gangguan seksual membabitkan kanak-kanak dan remaja kini semakin membimbangkan apabila pelakunya bukan lagi hanya terdiri daripada golongan dewasa, malah turut melibatkan kanak-kanak dan remaja sendiri.
Pakar Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, Dr Nik Sumayyah Nik Mohamad Nor berkata trend itu dapat dilihat menerusi peningkatan kes yang dirujuk ke hospital sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata jika sebelum ini kebanyakan pelaku merupakan individu dewasa seperti ahli keluarga atau orang yang lebih berusia, kini kes turut berlaku di sekolah dan kawasan permainan dengan pelakunya terdiri daripada kanak-kanak serta remaja.
“Perkembangan ini menunjukkan pendedahan kepada tingkah laku seksual yang tidak sihat berlaku pada usia yang semakin muda,” katanya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi.
Menurut beliau, hospital turut mengendalikan kes melibatkan mangsa seawal usia setahun.
Katanya, terdapat juga kes membabitkan kanak-kanak tadika berusia antara empat hingga lima tahun yang melakukan gangguan seksual terhadap rakan sebaya, selain murid sekolah rendah berusia sembilan hingga 11 tahun yang menunjukkan tingkah laku seksual.
Sehubungan itu, Dr Nik Sumayyah berkata usaha menangani isu berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan dan petugas kesihatan.
Beliau berkata pendidikan mengenai keselamatan diri serta kesedaran terhadap risiko eksploitasi seksual perlu diperkukuh sejak usia awal bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada menjadi mangsa atau terlibat sebagai pelaku.
