Meta Sekat Fungsi Kamera Cermin Mata Pintar Jika Lampu LED Privasi Dihalang
META memperkenalkan ciri keselamatan baharu pada cermin mata pintar Ray-Ban Meta yang akan melumpuhkan fungsi kamera secara automatik sekiranya sistem mengesan lampu LED privasi pada peranti itu dihalang, diusik atau diubah suai.
Menurut laporan Amanz, ciri berkenaan diperkenalkan menerusi kemas kini perisian wajib bagi menangani kebimbangan berkaitan privasi dan rakaman tanpa pengetahuan orang ramai.
Secara standard, cermin mata pintar itu dilengkapi lampu LED pada bingkai peranti yang akan menyala setiap kali pengguna mengambil gambar atau merakam video sebagai petunjuk kepada individu di sekeliling.
Bagaimanapun, timbul kebimbangan apabila terdapat pihak menawarkan perkhidmatan mengubah suai peranti dengan mematikan atau menanggalkan fungsi lampu LED berkenaan bagi membolehkan rakaman dilakukan secara tersembunyi.
Sehubungan itu, Meta memaklumkan syarikat telah mula menurunkan iklan dan penyenaraian yang mempromosikan pengubahsuaian sedemikian, selain sedang mempertimbangkan tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat.
Isu privasi membabitkan peranti boleh pakai yang dilengkapi kamera bukan perkara baharu, malah pernah menjadi perhatian sejak pengenalan Google Glass lebih sedekad lalu, terutama di negara yang mempunyai peraturan privasi yang ketat.
Meta berkata kemas kini terbaharu itu bertujuan memastikan lampu penunjuk rakaman sentiasa berfungsi sebagai ciri keselamatan dan tidak boleh dipintas melalui sebarang pengubahsuaian fizikal pada peranti.
