Meta Berdepan Penalti AS$1.4 Trilion Berkait Facebook, Instagram Sebabkan Ketagihan
EMPAT negeri di Amerika Syarikat (AS) menuntut penalti berjumlah sehingga AS$1.4 trilion (kira-kira RM5.71 trilion) terhadap Meta Platforms Inc. atas dakwaan Facebook dan Instagram direka untuk menyebabkan ketagihan dalam kalangan remaja serta mengelirukan orang ramai mengenai tahap keselamatan platform berkenaan.
Menurut dokumen mahkamah, tuntutan itu dikemukakan oleh California, Colorado, Kentucky dan New Jersey menerusi tindakan undang-undang yang dijadualkan dibicarakan pada Ogos 2026 di Oakland, California.
Jumlah penalti yang dituntut hampir menyamai nilai pasaran semasa Meta yang dianggarkan sekitar AS$1.56 trilion.
Kes berkenaan melibatkan dakwaan pelanggaran undang-undang negeri masing-masing serta Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (Children’s Online Privacy Protection Act – COPPA).
Penalti yang dituntut dikira berdasarkan jumlah remaja yang didakwa terjejas dan kadar denda yang diperuntukkan di bawah undang-undang setiap negeri.
Sebelum ini, Hakim Yvonne Gonzalez Rogers menolak permohonan Meta untuk membatalkan saman berkenaan, sekali gus membolehkan kes itu diteruskan ke peringkat perbicaraan.
Meta bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan masih terdapat pertikaian fakta sama ada Facebook dan Instagram menyebabkan ketagihan atau menyasarkan pengguna kanak-kanak.
Syarikat itu turut berhujah bahawa istilah “ketagihan media sosial” bukan diagnosis yang diiktiraf dalam bidang psikiatri, justeru kenyataannya bahawa platform berkenaan tidak menyebabkan ketagihan tidak boleh dianggap mengelirukan.
Pada Mac lalu, Meta diperintahkan membayar penalti sebanyak AS$375 juta oleh mahkamah di New Mexico selepas didapati mengelirukan pengguna mengenai aspek keselamatan kanak-kanak di platform Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Juri dalam kes itu memutuskan Meta bertanggungjawab kerana mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan berunsur seksual serta risiko hubungan dengan pemangsa seksual.
Keputusan tersebut dilihat membuka ruang kepada negeri-negeri lain untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan atas dakwaan yang sama.
Setakat ini, sebanyak 29 negeri memfailkan saman terhadap Meta di mahkamah persekutuan, manakala 14 negeri lagi membawa kes berasingan di mahkamah negeri masing-masing.
Selain Meta, beberapa syarikat media sosial lain termasuk Snapchat, YouTube dan TikTok turut berdepan tindakan undang-undang berkaitan dakwaan bahawa platform mereka menyumbang kepada ketagihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
