ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Pramugara popular Hafeez Al Bukhary meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser usus

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Pramugara Malaysia Airlines yang dikenali ramai menerusi perkongsian pengalaman serta layanan mesranya kepada penumpang, khususnya jemaah haji dan umrah, Hafeez Al Bukhary Zulkefly disahkan meninggal dunia pada Khamis selepas bertarung dengan kanser usus tahap empat.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh sepupunya, Hani Mishan menerusi satu hantaran di Threads yang memaklumkan Hafeez telah kembali ke rahmatullah sambil mengajak orang ramai menghadiahkan bacaan Al-Fatihah serta mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan di alam barzakh.

foto social media Hafeez

Sebelum ini, keadaan Hafeez dilaporkan kritikal dan beliau telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak selepas tahap kesihatannya semakin merosot.

Pada Ogos tahun lalu, Allahyarham berkongsi bahawa beliau disahkan menghidap kanser kolon atau kanser usus tahap empat. Ketika itu, beliau menerima ujian tersebut dengan penuh reda dan percaya setiap dugaan yang diberikan mempunyai hikmah tersendiri.

Hafeez mula dikenali ramai di media sosial menerusi kandungan yang memaparkan tugasnya sebagai pramugara Malaysia Airlines serta pengalaman melayani penumpang dan jemaah haji sepanjang penerbangan. Sikapnya yang peramah, penyayang dan sentiasa mengukir senyuman menjadikan beliau antara figura yang disenangi ramai.

Pemergian Allahyarham mengundang rasa sedih dalam kalangan keluarga, rakan-rakan serta pengikutnya di media sosial yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah dan doa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *