Lebih 11,000 Kandungan ‘Deepfake’ Diturunkan Sejak 2024
KUALA LUMPUR – Sebanyak 11,677 kandungan deepfake telah diturunkan daripada 12,496 aduan berkaitan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 2024.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, tindakan itu diambil selepas MCMC mengemukakan permohonan kepada penyedia platform media sosial terbabit untuk menurunkan kandungan berkenaan.
Menurut beliau, jumlah aduan berkaitan kandungan deepfake menunjukkan peningkatan ketara apabila melonjak lebih lapan kali ganda dalam tempoh tersebut.
Katanya, sebanyak 917 aduan direkodkan pada 2024, meningkat kepada 3,612 aduan pada 2025 dan mencecah 7,967 aduan setakat 15 Jun tahun ini.
“Bagi membendung penyalahgunaan AI, kerajaan menerusi Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 mewajibkan penyedia platform media sosial berlesen melaksanakan langkah mitigasi risiko, termasuk terhadap kandungan yang dijana menggunakan AI.
“MCMC juga telah mengadakan rundingan dengan penyedia platform berlesen bagi memastikan kewajipan tersebut dilaksanakan dengan berkesan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang meminta penjelasan mengenai jumlah terkini kes penyalahgunaan AI yang telah diambil tindakan oleh Kementerian Komunikasi.
Teo berkata, MCMC turut membantu siasatan agensi penguatkuasaan melalui penyediaan sokongan teknikal termasuk maklumat pemprofilan, analisis forensik digital serta pemantauan proaktif terhadap kandungan AI yang disalahgunakan di media sosial.
Mengulas isu platform media sosial yang didakwa membenarkan iklan berkaitan sindiket penipuan disiarkan, beliau berkata penyedia platform berlesen kini diwajibkan mengesahkan identiti pengiklan, termasuk melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), bagi mengelakkan penyalahgunaan akaun palsu untuk tujuan penipuan.
“Platform yang gagal mematuhi kewajipan di bawah Kod Pengurangan Risiko boleh didakwa di mahkamah dan, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta serta penalti kewangan sehingga RM10 juta,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar).
