ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Kanak-Kanak 6 Tahun Hilang Ditemukan Meninggal Dunia Dalam Parit

BAGAN DATUK, 1 Julai – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Baru, Sungai Sumun, Hutan Melintang, ditemukan meninggal dunia, malam tadi.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di dalam sebuah parit di kawasan kebun kelapa sawit, kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa ditemukan oleh orang awam pada pukul 10.08 malam.

Menurut beliau, kanak-kanak itu sebelum ini disedari hilang selepas bapanya mendapati mangsa tiada di dalam rumah, manakala pintu hadapan kediaman pula berada dalam keadaan terbuka.

“Usaha mencari di sekitar rumah dan kawasan kebun kelapa sawit dilakukan ahli keluarga sebelum laporan kehilangan dibuat kepada polis,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan penglibatan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan penduduk setempat.

PDRM turut menggunakan Unit K9 bagi membantu mengesan mangsa di sekitar lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR yang bermula pada pukul 6.24 petang ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.11 malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *